Pengenalan Tentang Penyakit Kencing Manis
Penyakit kencing manis telah diketahui semenjak tamadun purba lagi
dan telah direkodkan oleh tamadun Mesir, Hindu, Cina dan Yunani (Greek).
Tanda-tanda penyakit kencing manis, seperti dahaga yang melampau dan
kerap kencing, telah digambarkan oleh orang Mesir di atas paprus pada
1550 BC. Pakar perubatan India juga telah membahagikan pengidap kencing
manis kepada dua semenjak abad ke lima lagi. Nama lain kencing manis,
diabetes yang bererti pancur air, dinamakan oleh pakar perubatan Yunani
(Greek), Areteus dari Cappadocia semenjak 2,000 tahun dahulu.
Perkataan mellitus kemudiannya ditambah oleh Willis bagi menunjukkan
terdapat gula dalam air kencing. Salah satu daripada ujian bagi
mengesan pengidap kencing manis yang terawal adalah mencurahkan air
kencing pada tanah dan melihat samada semut menghurungi tempat tersebut.
Bukti kaitan kelenjar pankreas dengan punca penyakit kencing manis
dijumpai pada tahun 1897, apabila dua orang pakar sains, Minkowski dan
Von Mering membuktikan hubungan kelenjar pankreas dengan kencing manis
dengan membuang kelenjar pankreas pada anjing, menyebabkan anjing
tersebut mengidap kencing manis. Walaupun penyakit kencing manis telah
lama diketahui, kawalan penyakit kencing manis yang berkesan hanya
diketahui pada 1921 apabila Frederick G. Banting dan Best menjumpai
fungsi insulin sebagai pengawal kandungan glokos dalam darah.
Apakah Insulin ?
Insulin merupakan sejenis hormon yang dihasilkan oleh sel kelenjar
pankreas yang dikenali sebagai Langerhans islets ( kepulauan kecil ).
Insulin bertugas untuk menceranakan glukos dan bertindak membenarkan
glukos dalam darah menembusi dinding sel.
Jenis-jenis Kencing Manis (Diabetes mellitus)
Kencing manis boleh dibahagikan kepada beberapa jenis iaitu :
1. Diabetes bersandar insulin
2. Diabetes bebas insulin
3. Diabetes ketika Hamil (Gestational diabetes)
4. Diabetes bentuk lain
Diabetes bersandar insulin
Diabetes jenis pertama juga dikenali sebagai diabetes bersandar
insulin (IDDM - 'Insulin Dependent' ) atau diabetes awal remaja.
Pengidap diabetes bersandar insulin boleh hidup seperti normal selagi
mereka menerima suntikan insulin, tetapi mereka akan menerima maut
sekiranya mereka tidak mendapat suntikan insulin dalam tempoh yang agak
singkat. Ini adalah disebabkan penguraian sumber bahan tenaga lain oleh
badan seperti lemak bagi menggantikan tenaga dari glukos. Penguraian
sumber bahan tenaga lain akan menghasilkan bahan sampingan seperti
ketones yang menyebabkan keadaan hiperglisemia (hyperglycemia). Ketones
merupakan molekul asid yang mampu menyebabkan kegagalan metabolisma dan
sel badan gagal berfungsi. Keadaan ini sekiranya berlarutan akan
mengakibatkan pengidap kencing manis menjadi koma dan menemui maut
sekiranya tidak dirawat. Diabetes jenis pertama ini terbentuk apabila
sistem imunisasi badan memusnahkan sel beta kelenjar pankreas,
satu-satunya jenis sel yang menghasilkan hormon insulin yang digunakan
untuk penghadaman glukos kepada tenaga. Diabetes ini sering didapati
pada golongan kanak-kanak dan remaja yang memerlukan beberapa suntikan
insulin setiap hari, atau menggunakan pam insulin, untuk terus hidup. 5%
hingga 10% pengidap diabetes merupakan dari jenis kencing manis jenis
I. Mereka yang berisiko mengidap kencing manis jenis I adalah serangan
sistem imunisasi sendiri (autoimmune), genetik dan alam sekeliling.
Diabetes bersandar insulin lebih kerap dikesan di masyarakat Barat.
Ini mungkin disebabkan oleh genetik, kesedaran yang lebih luas
dikalangan masyarakat barat, atau kurang kesedaran dikalangan masyarakat
Asia mengenai penyakit diabetes dikalangan kanak-kanak. Lambat
mendapatkan rawatan bagi diabetes bersandar insulin boleh membawa maut,
oleh itu sekiranya diabetes bersandar insulin tidak dikesan dengan lebih
awal, pengidap diabetes tidak berpeluang untuk dirawat. Bagaimanapun
peningkatan kes diabetes dikalangan masyarakat Asia mungkin
sebahagiannya disebabkan oleh peningkatan kesedaran mengenai penyakit
diabetes dikalangan umum. Ini menyebabkan lebih ramai orang sempat
mendapatkan rawatan di hospital.
Pengidap diabetes bersandar insulin perlu disuntik sebelum makan dan
kadang-kala insulin tambahan perlu disuntik pada waktu malam sebelum
tidur. Ibu bapa hendaklah menyimpan rekod bacaan paras gula anak mereka
untuk perhatian dan tindakan susulan daripada doktor dan pakar
pemakanan. Paras gula yang direkodkan itu amat penting untuk membolehkan
doktor mengubah suai pemakanan kanak-kanak terbabit dan mengubah dos
insulin. Ini disebabkan kekurangan dan lebihan paras gula dalam darah
boleh meninggalkan kesan buruk dan pelbagai gejala kepada pesakit
diabetes.
Bagaimanapun sekiranya terlalu kerap dan banyak insulin diambil atau
disuntik, keadaan sebaliknya mungkin berlaku. Keadaan ini yang dikenali
sebagai hipoglisemia disebabkan kekurangan glukos dalam darah dan boleh
diatasi dengan mudah dengan pengambilan makanan atau minuman yang
bergula.
Diabetes bebas insulin - jenis kedua
Diabetes bebas insulin (jenis kedua) juga dikenali sebagai diabetes
peringkat permulaan dewasa. 90% hingga 95% daripada pengidap kencing
manis mengidap diabetes bebas insulin (jenis kedua). Diabetes bebas
insulin (jenis kedua) biasanya bermula dengan ketahanan insulin, dimana
badan tidak menggunakan insulin dengan berkesan. Apabila keperluan
menggunakan insulin meningkat, kelenjar pankreas tidak lagi mampu
mengeluarkan insulin pada kadar mencukupi. Diabetes bebas insulin (jenis
kedua) biasanya berlaku seiring dengan faktor usia lanjut, gemuk
(obesity), terencat ketahanan
glukos, keturunan atau bangsa (genetik) dan kurang bersenam. Diabetes
bebas
insulin (jenis kedua) juga semakin meningkat dikalangan kanak-kanak dan
golongan remaja di Malaysia
Diabetes ketika Hamil (Gestational diabetes)
Diabetes ketika hamil merupakan sejenis alahan glukos yang dikenal
pasti pada sebahagian wanita ketika mengandung. Diabetes ketika hamil
sering didapati di kalangan orang Amerika keturunan Afrika,
Hispanik/Latin, dan Red Indian. Diabetes ketika hamil juga biasa
didapati dikalangan wanita kuat makan, atau wanita yang dari
keturunan pengidap diabetes. Ketika mengandung, diabetes ketika hamil
memerlukan rawatan untuk menurunkan paras gula dalam darah agar tidak
memberi kesan
kepada kandungan. Selepas mengandung, kebanyakan wanita 90% hingga 95%
kembali sembuh. Sebahagian kecil pula antara 5% hingga 10% didapati
mengidap
diabetes bebas insulin (jenis kedua). Wanita yang mengalami diabetes
ketika
hamil mempunyai risiko 20% hingga 50% mengidap diabetes dalam tempoh 5
hingga 10 tahun. Diabetes ketika hamil juga meningkatkan lagi risiko
bayi
mempunyai paras bilirubin yang tinggi (demam kuning) berbanding bayi
normal.
Diabetes bentuk lain
Terdapat diabetes yang disebabkan oleh faktor genetik (peringkat
permulaan dewasa), pembedahan, dadah, kurang zat permakanan, jangkitan,
dan penyakit lain. Diebetes bentuk lain membentuk 1% hingga 5% daripada
semua penyakit kencing manis yang dikenal pasti.
Masalah Pengidap Kencing Manis
Bagi pesakit kencing manis yang tidak mengawal penyakit mereka, mereka berhadapan dengan kesan yang lebih serius.
Antara kesan Penyakit Kencing Manis ialah :
- Kegagalan buah pinggang
- Serangan jantung
- Kebutaan / Katarak
- Koma ( hilang kesedaran )
- Angin Ahmar ( strok )
- Sakit saraf atau "mati pucuk"
- 'gangrene' atau anggota tubuh mati/membusuk
Pengidap kencing manis yang bergantung kepada suntikan insulin
berhadapan dengan beberapa masalah untuk mengawal kadar gula dalam
darah, antaranya adalah :
- Kekurangan paras gula di dalam darah atau hipoglisemia.
Ini mungkin disebabkan terlebih mengambil insulin
- Lebihan paras gula di dalam darah atau hiperglisemia.
Ini mungkin disebabkan oleh tidak mengambil insulin.
Tanda-tanda kekurangan paras gula di dalam darah atau hipoglisemia ialah :
- Cemas
- Berdebar-debar
- Berpeluh
- Menggeletar
- Terasa lapar
- Terkeliru
- Penglihatan kabur
- Pening lalat
- Tidak sedarkan diri
Tanda-tanda lebihan paras gula di dalam darah atau hiperglisemia ialah :
- Sering membuang air kecil, terutama pada sebelah malam
- Kerap terasa haus
- Muntah-muntah
- Badan semakin kurus
- Koma
- Sukar bernafas
- Sakit perut
No comments:
Post a Comment